DIY – Masker Mudah di Rumah

      No Comments on DIY – Masker Mudah di Rumah

Mari kita lihat senarai bahan-bahan yang boleh dijadikan masker mudah di rumah untuk mendapatkan kulit yang cerah sekata dengan mudah.

1 – Air Teh Hijau bersama Madu
Antioksida pada air teh hijau dapat membantu untuk menyingkirkan toksin dan radikal bebas daripada kulit. Tambahkan sedikit madu sebagai agen anti-bakteria yang mampu melembapkan kulit sekaligus menjadikan kulit lebih halus dan lembut.

Untuk menjadikannya masker, tambah 1 cawan air teh hijau (yang telah disejukkan) bersama 1/2 sudu madu dan 2 sudu tepung beras. Sapukan pada wajah dan biarkan selama 20 minit atau sehingga kering sepenuhnya. Gosok muka secara putaran kecil untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati pada wajah sebelum dibilas dengan air sejuk.

Tepung beras akan bertindak seperti scrub yang halus pada kulit wajah. Lakukan pada waktu pagi sebelum mandi untuk mendapatkan tona kulit yang sekata.

2 – Oat dan Lemon
1 sudu makan oat (dimasak dan dihancurkan) dicampur bersama 1 sudu jus lemon adalah masker yang dapat membantu mencerahkan wajah. Oat dapat mempercepatkan kesembuhan kulit, mengurangkan keradangan kulit serta membantu proses pengelupasan secara lembut dan semulajadi.

Paling utama, oat dapat menyerap lebihan minyak pada wajah dan membersihkan kulit dari kekotoran dan debu. Lemon pula sebagai bahan antioksida dan vitamin C yang kaya di dalam lemon membantu untuk mencerahkan tona wajah.

Gunakan masker ini sebelum mandi di waktu pagi. Biarkannya kering di wajah selama 20 minit sebelum membilas wajah. Diingatkan jika anda memiliki kulit yang sensitif, boleh mengurangkan kepekatan jus lemon terlebih dahulu (mencampurkannya dengan air) sebelum dicampur sebagai masker.

3 – Kunyit, Susu dan Lemon
Campur bersama 1 sudu tepung gandum, 1 sudu serbuk kunyit, 1 sudu jus lemon dan 1 sudu susu. Sapukan pada wajah dan gosok selama 5 minit. Biarkan di wajah dalam 20 minit kemudian bilas bersih kulit wajah.

Kunyit dapat melembutkan kulit wajah dan sifat anti-bakterianya dapat membersihkan wajah untuk menjaga kesihatan kulit. Selain itu, kunyit juga akan mencerahkan tompok-tompok gelap pada wajah. Lemon bertindak sebagai agen pencerah kulit manakala susu juga melembutkan dan mencerahkan kulit.

4 – Kunyit dan Jus Tomato
Dengan nisbah 1:1, serbuk kunyit dan jus tomato dicampur bersama sehingga menjadi pes. Sapukan pes ini dan biarkan di wajah selama 15 minit sebelum dibilas dengan air sejuk. Masker ini boleh digunakan di waktu pagi atau malam sebelum tidur.

Kandungan lycopene di dalam tomato bertindak sebagai bahan antioksida yang melindungi kulit dari kerosakan akibat terdedah pada sinaran UV. Selain dapat mencerahkan kulit, tomato juga boleh melambatkan proses penuaan kulit. Bukankah kita semua inginkan kulit wajah yang muda remaja?

5 – Yogurt dan Serbuk Kulit Oren Kering
Buah oren memang diketahui kaya dengan Vitamin C yang bermanfaat untuk kecantikan kulit. Keringkan kulitnya dan kisar menjadi serbuk. Campurkan satu sudu serbuk kulit oren bersama satu sudu yogurt (asli tanpa tambahan perisa). Biarkan pada wajah selama 20 minit dan bilas seperti biasa.

Campuran ini bagus digunakan di waktu pagi. Serbuk oren tadi boleh bertindak sebagai butiran halus yang mengurut kulit wajah lalu meningkatkan peredaran darah disamping mempunyai khasiat yang baik untuk kulit.

6 – Yogurt dan Lemon
Perahkan satu sudu jus lemon ke dalam 1 sudu yogurt (asli tanpa tambahan perisa). Sapu campuran ini di wajah dan biarkan selama 20 minit kemudian bilas dengan air sejuk. Masker ini sesuai digunakan di waktu pagi atau malam.

Yogurt mampu mengembalikan keremajaan kulit menjadikannya kelihatan bermaya dan bercahaya. Yogurt dapat mengelakkan kulit dari kelihatan kusam dan melawan tanda-tanda penuaan seperti garis halus dan kedutan. Bahan ini juga ternyata melembapkan kulit dengan sangat baik.

7 – Susu, Jus Lemon dan Madu
Setiap bahan hanya memerlukan satu sudu sahaja. Campuran ini digunakan sebagai bahan pencuci wajah semulajadi yang turut boleh dijadikan sebagai masker dengan membiarkannya selama 20 minit.

Kombinasi enak ini mempunyai susu yang terdiri dari protein, lemak dan minerals yang dapat mengawal tona kulit wajah. Susu juga mengandungi magnesium, calcium dan protein yang mengetatkan pori wajah sekaligus menegangkan kulit.

8 – Susu dan Zafron
Gunakan 2 hingga 3 sudu susu segar dan rendamkan beberapa urat herba zafron selama 3 hingga 4 jam. Gunakan susu ini sebagai pencuci wajah di waktu pagi dengan membiarkan selama 20 minit sebelum membilas wajah dengan air suam.

Di dalam satu kajian di Iran, zafron adalah antara tumbuhan herba yang mampu memberikan kulit nampak lebih bermaya dan kelihatan merah jambu secara alami. Cubalah! Selepas ini wajah anda akan jadi comel dengan tona kemerah-merahan.

9 – Kentang
Gunakan kentang dengan menyapunya pada wajah. Biarkan selama 20 minit kemudian bilas wajah seperti biasa. Lakukan dua kali sehari secara konsisten untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki.

Kentang adalah agen pemutihan kulit dari alam yang bertindak secara lembut pada kulit. Ini menjadi faktor kepada kulit yang cerah berseri secara semulajadi

10 – Kulit Lemon dan susu
Keringkan kulit lemon dan kisar sehingga menjadi serbuk. Campurkan satu sudu serbuk ini bersama dengn beberapa sudu susu segar. Sapukan bahan ini pada wajah dan biarkan selama 20 minit. Kemudian cuci dengan air suam dan terus sapukan penyegar wajah (toner). Vitamin C pada lemon dapat membantu melindungi kulit wajah dari kesan pencemaran dan cinaran UV yang merbahaya pada kulit bagi mendapatkan kulit yang cerah dan mulus.

11 – Kunyit dan Yogurt
Serbuk kunyit bersama yogurt dapat membantu mengurangkan kulit gelap akibat terdedah dengan sinaran matahari yang berlebihan. Kesannya pada wajah bergantung kepada kekerapan menggunakannya. Bahan semulajadi menjadikan masker ini boleh digunakan setiap hari tanpa sebarang ancaman dari bahan kimia terlarang yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

12 – Soda Bikarbonat
Baking soda atau soda bikarbonat adalah salah satu bahan yang digunakan untuk membuat kek dan roti. Bahan ini bersifat alkali dan boleh digunakan sebagai bahan pencuci yang alami pada kulit dan rambut. Caranya mudah, campurkan sedikit (kuantiti bergantung kepada keperluan) soda bikarbonat bersama cuka atau jus lemon.

Kemudian gosok pada wajah atau kulit. Kemudian bilas dengan air seperti biasa. Asid dari cuka atau jus lemon akan mengurangkan kadar PH dari soda bikarbonat untuk menyesuaikannya pada kulit. Soda bokarbonat terkenal sebagai agen pemutih kulit semulajadi yang boleh digunakan untuk mencerahkan bahagian gelap pada kulit terutamanya di bahagian-bahagian badan.

Semua bahan campuran ini sangat mudah dan pantas disediakan. Cuma perlu tambah kerajinan dalam membina rutin penjagaan kulit yang teratur bagi memastikan usaha yang berterusan dan hasil yang diimpikan. Selamat Mencuba!

Credit to Page Freshpicks by CherryNazri

Leave a Reply